Rakyat Kelantan Mahu Perubahan, Percaya BN Mampu Tadbir Negeri – Jazlan

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub percaya bahawa rakyat di negeri ini akan memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Menurutnya, ini berdasarkan pertemuan bersama rakyat yang meluahkan sokongan kepada beliau untuk parti keramat ini merampas kembali Kelantan daripada pentadbiran sedia ada.

jazlan kelantan“Saya lihat jelas hari ini di mana-mana sahaja pergi rakyat sama ada di Kelantan atau di luar negeri memberi semangat untuk memastikan bahawasanya kali ini BN akan diberi kepercayaan oleh rakyat.

“Ada yang mengatakan dulu mereka ini tidak sokong BN tapi kali ini yakin dan percaya untuk menyokong kerana hendak tengok Kelantan berubah di bawah BN ini menyebabkan kita sebenarnya tersentuh hati dan terharu.

“Saya yakin BN akan buat yang terbaik untuk rakyat sekiranya mereka memberi kepercayaan kepada kita untuk PRU15 yang akan datang,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Bercakap mengenai PRU15 beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang menambah segala persiapan telah dilaksanakan dengan sebaiknya oleh jentera parti negeri.

Katanya, meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran namun komitmen dilakukan oleh jentera parti adalah pada peringkat yang sangat baik.

“Kita sebenarnya sudah menyiapkan jentera hampir lengkap cuma tunggu diaktifkan pada bila-bila masa untuk semboyan dibunyikan.

“Kalau ikutkan jentera sudah bergerak walaupun dalam keadaan bermacam kekangan… kita faham kerana pada ketika ini BN tidak menguasai kerajaan sepenuhnya seperti sebelum PRU14.

“Namun semangat yang ditunjukkan oleh jentera akar umbi di negeri ini berada pada satu tahap yang tinggi dan mereka bersedia untuk bekerja pada bila-bila masa,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.