Pindaan Pemilihan UMNO Rasional, Bawa Mesej Perpaduan Hadapi PRU15 – Adnan Seman

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Adnan Seman berpandangan pindaan pemilihan UMNO dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) mempunyai rasionalnya terutama dalam menjaga perpaduan dalam kalangan ahli parti.

Katanya, keputusan ini juga dianggap adalah suatu keperluan kerana melihat kepada senario politik semasa pada ketika ini sudah tentu parti lain mahu melihat UMNO berpecah.

“Ini adalah mesej perpaduan yang ingin disampaikan oleh kepimpinan G5 yang ada dalam UMNO Malaysia dan saya harap ianya juga akan turun ke bawah di peringkat akar umbi.

“Saya kira ianya satu keputusan yang sangat tepat dan ketika kita lihat Perhimpunan Agung Khas UMNO nampak sokongan yang padu dan cukup baik apabila Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencadangkan usul dan disokong oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Tambah Adnan, mengambil kira Pergerakan Pemuda dan Puteri yang mempunyai had umur merupakan suatu perkara yang perlu diberi perhatian kerana pemegang jawatan bagi dua sayap parti ini sudah menjalani kursus terutama bagi berhadapan pilihan raya.

Jelas beliau, perjalanan parti juga sudah semestinya akan terganggu sekiranya pemilihan parti diadakan sebelum pilihan raya kerana diganti dengan pemimpin baharu.

“Kita harus sedar sayap UMNO ini ada tempoh berakhirnya umur misalnya Pergerakan Pemuda berakhir pada umur 40 tahun begitu juga Puteri iaitu 35 tahun.

“Jadi kebimbangannya apabila bertanding dan tidak dapat mengekalkan jawatan kemudian diisi dengan kumpulan baharu… mereka ini tidak mendapat latihan yang cukup untuk kita berdepan dengan PRU15.

“Kita mahukan pemegang jawatan yang ada pada ketika ini kekal sehingga PRU15 kerana mereka ini merupakan jentera yang kita latih dalam siri PRN dan PRN jadi apabila masuk pilihan raya tidak ada masalah berkenaan perjalanan pacaba, kempen dan sebagainya,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.