Bekalan Ayam : Penyelesaian Jangka Pendek Dan Jangka Panjang Perlu Tindakan Segera
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Isu bekalan ayam yang hari ini menjadi topik bualan umum turut mendapat perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi catatan di Facebooknya, beliau melihat penyelesaian segera perlu dilakukan dan penyelesaian jangka panjang juga perlu dilakukan sepertimana cadangan mewujudkan zon kekal pengeluaran selain seruan Perdana Menteri supaya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menguasai industri penternakan ayam untuk menangani berkenaan.
“Persatuan penternak ayam mendakwa telah mengemukakan isu bekalan ayam kepada kementerian berkaitan sejak pandemik bermula.Termasuk berhubung harga bekalan melonjak tinggi di luar negara sekaligus membebankan pengimportannya ke negara ini.
“Begitu juga perihal penternak tempatan dibebani dengan kenaikan kos dedak empat kali naik harga dalam tempoh 10 bulan. Permasalahan yang diketengahkan itu bagaimanapun didakwa tidak diselesaikan secara serius oleh kementerian berkenaan.
“Kemudian terdapat dakwaan beberapa syarikat-syarikat penternak ayam bertindak menghentikan operasi ladang mereka.Pemberhentian operasi ladang itu bagi ‘memboikot’ tindakan lambat kerajaan membayar subsidi harga ayam 60 sen,” katanya.
Katanya lagi rakyat berdepan kesukaran manakala golongan peniaga pula tentunya lebih terbeban.
“Begitu begini dakwaan, alasan dan hujah dikemukakan oleh pihak-pihak terlibat dalam bekalan ayam, akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat.Kini rakyat berdepan kesukaran mendapatkan bekalan ayam dan harganya yang tinggi. Golongan peniaga tentuya lebih terbeban.
“Paling dikuatiri kekurangan bekalan ayam akan menyebabkan harga ikan terus meningkat apabila permintaannya pula bertambah.
Isu berhubung bekalan ayam sudah lama diketahui sejak pandemik, tetapi belum terlihat mekanisme yang efisien untuk berdepan isu tersebut,” ujarnya.
Ujarnya lagi implikasi permasalahan bekalan ayam tentu tidak begitu teruk jika kementerian berkaitan bersama penternak telah mencapai titik persefahaman sebelum ini.
“Kita menyokong seruan Perdana Menteri supaya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menguasai industri penternakan ayam untuk menangani berkenaan.
“Dalam masa yang sama cadangan Malaysia mewujudkan zon kekal pengeluaran ayam bagi menstabilkan harga dan menjamin bekalan ayam harus dipertimbangkan. Penyelesaian jangka panjang itu bukan hanya dikatakan menjimatkan banyak, malah mengekalkan kadar kompetitif pengeluaran ayam untuk rakyat Malaysia,” tambahnya.- UMNO Online