Lihat Sendiri Keadaan Perkhidmatan Awam Untuk Penambaikan, Onn Hafiz ‘Under Cover’ Ke Singapura
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Keprihatinan UMNO apabila diangkat sebagai pemimpin adalah melaksanakan amanah demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat malah seboleh mungkin setiap kesulitan akan diselami bagi memastikan penyelesaian tuntas dibuat.
Hal inilah yang diaplikasi oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi apabila turun padang dan menjadi orang awam tanpa dikenali pelbagai pihak bagi merasai dan melihat sendiri suasana dalam laluan antara Johor dan Singapura.
Beliau yang berpakaian kasual dan menggunakan penutup separuh muka berserta topi telah menaiki bas di JB Sentral untuk ke Singapura dan kembali semula ke JB Sentral menggunakan penganggutan awam.
“Saya nak lihat sendiri keadaan dan perkhidmatan di sini dan apa yang perlu penambahbaikan,” katanya melalui video pendeknya yang dimuatnaik menerusi laman facebooknya.
Jelasnya, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dan beliau akan berusaha untuk memperbaikinya dengan kadar segera, demi keselamatan dan keselesaan jutaan pengguna yang mengunjunginya setiap tahun.
“Alhamdulillah, saya telah selamat pergi dan selamat kembali ke Johor. Saya lalui proses yang lazim dilalui semua.
“Insya-Allah, saya akan berjumpa dengan Pengarah Imigresen Johor, Kastam, KDN, JPJ, APAD dan SPRM Johor esok.
“Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki. Saya dan agensi berkenaan akan berusaha untuk memperbaikinya dengan kadar segera, demi keselamatan dan keselesaan jutaan pengguna yang mengunjunginya setiap tahun. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya lagi.
Dilaporkan, Singapura disifatkan sebagai rakan strategik utama Johor dalam usaha memulihkan ekonomi khususnya pascapandemik COVID-19
Menurut laporan juga, dianggarkan lebih 300,000 rakyat Malaysia menyeberangi Tambak Johor setiap hari, menjadikannya laluan menyeberangi sempadan paling sibuk di rantau ini. – UMNO Online