Pindaan Perlembagaan UMNO Demi PRU15, Fokus Kestabilan Untuk Negara

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Pindaan Perlembagaan UMNO adalah tepat pada masanya kerana secara umumnya semua ahli UMNO mahukan kestabilan politik dalam parti dan juga negara. 

Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang gembira dengan kelancaran perjalanan Perhimpunan Agung Khas UMNO, Ahad lalu. 

Jelasnya, ini adalah satu keputusan yang terbaik bagi UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 serta dapat mengelakkan perpecahan sesama ahli.

“Pindaan ini memberikan ruang kepada kepimpinan untuk fokus kepada pilihan raya berbanding dengan pemilihan parti. Dengan persetujuan perwakilan UMNO ini ianya dapat memberikan perpaduan di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO lebih erat dan fokus kepada PRU 15 menjadi keutamaan semua.

“Semoga perpaduan ini akan memberikan kekuatan pada UMNO/BN bagi menghadapi PRU 15. Kita dapat lihat semua pihak yang hadir yang berada di dalam Dewan Merdeka semasa keputusan dibuat mengutamakan perpaduan dan kestabilan parti sebagaimana hasrat ahli akar umbi,” katanya.

Beliau berkata kepada UMNO Online selepas turut sama menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO Ahad lalu yang meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Ia diluluskan selepas 2,586 perwakilan bersetuju untuk meluluskan usul yang dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disokong oleh Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – UMNO Online 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.