UMNO Telah Hantar Surat Kepada ROS Maklum Pindaan Perlembagaan Parti – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 17 Mei – UMNO telah menghantar surat kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) berkaitan pindaan Perlembagaan UMNO yang telah dibuat.

Hal tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi ciapan dalam Twitter beliau hari ini.

“Surat saya selaku SUA UMNO kepada ROS/Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di Putrajaya yang saya sediakan bersama Penasihat Undang-Undang UMNO telah dihantar dengan tangan hari ini, 17 Mei 2022.

“Ianya berhubung pindaan Perlembagaan UMNO selepas selesai Perhimpunan Agung Khas pada 15 Mei 2022,” katanya.

Terdahulu, Ahad lalu, Perhimpunan Agung Khas UMNO meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Ia diluluskan selepas 2,586 perwakilan bersetuju untuk meluluskan usul yang dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disokong oleh Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi pembentangan yang dibacakan kepada perwakilan, Khaled memaklumkan bahawa secara umumnya, pindaan melalui Perhimpunan Agung Khas UMNO ini melibatkan hanya tiga fasal iaitu Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2.

Persidangan terbabit berlangsung lancar di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang turut disusuli sambutan ualng tahun ke-76 UMNO dan jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.