Pindaan Perlembagaan: Sokongan Pimpinan Jayakan Hasrat Akar Umbi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Pindaan Perlembagaan UMNO yang diluluskan secara sebulat suara pada Perhimpunan Agung Khas Ahad lalu menggambarkan manifestasi ahli parti untuk memastikan kelangsungan UMNO.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ianya adalah dukungan kepimpinan tertinggi parti dalam usaha menterjemahkan apa yang dikehendaki di peringkat akar umni.

“Alhamdulillah apabila usul pindaan ini diluluskan di dalam perhimpunan khas UMNO, ianya merupakan satu manifestasi dukungan kepimpinan tertinggi UMNO untuk menterjemahkan suara akar umbi bagi memberikan keutamaan kepada pengukuhan parti.

“Ianya meliputi pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan juga diperingkat tertinggi dan tentunya ia tidak mempunyai agenda yang tersirat tetapi apa yang penting adalah agenda tersurat di mana kita mesti memberikan keutamaan untuk meraih semula kemenangan dalam PRU yang akan datang dan PRU berikutnya.

“Ini kerana lazimnya mengikut tradisi UMNO, jentera terbentuk apabila pilihan raya dihadapi. Namun kesiapsiagaan kita kini jentera diwujudkan lebih awal kerana kita telah mengalami kegagalan untuk membentuk kerajaan pada PRU yang lalu,” katanya kepada UMNO-Online semalam.

Terdahulu beliau menerima kunjungan NGO-NGO Palestin yang turut disertai pimpinan UMNO dan BN iaitu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr.Zambry Abdul Kadir juga Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid seterusnya menambah tumpuan kini adalah untuk memperkemaskan lagi jentera pilihan raya pelbagai peringkat.

“Secara kebetulan kita menghadapi banyak  Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Alhamdulillah kita menang tujuh PRK itu, kita memenangi sebahagian daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah dan Alhamdulillah kita menang di Melaka dan Johor.

“Ertinya jika kita mahu menghadapi PRU-15 maka jentera ini adalah jentera yang telah diuji di dalam PRK dan negeri maka insya-Allah jika kita dapat mantapkan apatah lagi memperkasakan kepimpinan serta jentera parti maka ianya akan dapat mengelakkan permasalahan dalaman.

“Begitu juga PRU-16… 17… 18 … 19 dan seterusnya jika kepimpinan itu dipilih selepas PRU maka jentera dan kepimpinan yang samalah yang akan menghadapi PRU yang seterusnya tanpa adanya permasalahan dalaman yang harus diselesaikan oleh kepimpinan di semua peringkat,” tambahnya.

Ahmad Zahid seterusnya melahirkan rasa syukur dan melihat tidak ada kabilah atau kelompok yang berlainan walaupun wujudnya perbezaan pendapat dan sebagainya.

“Maka kita harus bersyukur kerana pindaan perlembagaan ini bukan hanya sekadar diterima sebulat suara tetapi hikmah yang ada ialah tidak ada kelompok atau kabilah yang berbeza biarpun pendapat yang berbeza  itu diraikan.

“Namun keputusan dalam Perhimpunan Agung Khas ini adalah keputusan muktamad yang akan dimaktubkan dan terpahat dalam Perlembagaan UMNO bahawa ianya harus diikuti untuk tahun-tahun yang mendatang,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.