Kesepakatan UMNO Terserlah, Pindaan Perlembagaan Demi Kelangsungan Perjuangan – Rais


KUALA LUMPUR, 17 Mei – Pindaan Perlembagaan UMNO yang sebulat suara diluluskan memperlihatkan kesatuan dan permuafakatan di parti, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi  (MKT) UMNO, Datuk Rais Yasin.

Beliau ketika ditemui UMNO-Online menyifatkan perkembangan berkenaan amat baik dan sekaligus menggambarkan kesatuan yang utuh parti untuk bergerak mendepani cabaran seterusnya.

“Kita berada dalam suasana yang paling indah, yakin dan percaya pada kali ini dalam perhimpunan agung khas di mana pindaan perlembagaan yang berjaya dilakukan dan mendapat sokongan semua… jadi saya nampak sebulat suara setuju dan ditambah indahnya apabila disokong sendiri oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan sebulat suara setuju oleh perwakilan.

“Jadi saya harap suasana harmoni ini dapat kita kekalkan dalam parti kita dan insya-Allah Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kita akan terus bangkit dan menang dengan bergaya,” ujarnya.

Perhimpunan Agung Khas UMNO Ahad lalu meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Ia diluluskan selepas 2,586 perwakilan bersetuju untuk meluluskan usul yang dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disokong oleh Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan terbabit berlangsung lancar di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang turut disusuli sambutan ualng tahun ke-76 UMNO dan jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO.

Rais yang juga Ketua Pemuda UMNO Tangga Batu dan Exco Kerajaan Negeri Melaka seterusnya berpendapat tidak timbul soal pindaan tersebut untuk kepentingan tertentu sebaliknya jelas sepertimana yang ditegaskan oleh Presiden UMNO sendiri, bahawa ianya adalah untuk kelangsungan parti.

“Tidak timbul langsung isu pindaan ini untuk kepentingan mana-mana pihak dan sepertimana yang dikatakan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi… beliau bukanlah orang yang kalau hendak buat begitu tidak perlu melakukannya pada masa sekarang… tetapi ini adalah demi kelangsungan parti supaya tidak berlaku perpecahan.

“Yakin dan percayalah kepada kepimpinan parti terutama kepada presiden. Apa yang kita lakukan berkaitan pindaan ini bukan hanya untuk hari ini tetapi adalah untuk hari-hari yang akan datang, untuk generasi UMNO terutamanya pada masa depan supaya selepas ini setiap kali pemilihan itu hanya akan dilakukan selepas pilihan raya. Jadi tidak akan berlaku apa-apa perpecahan. Fokus kita adalah kepada PRU dahulu dan selepas itu kita akan fikir pula pasal pemilihan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.