Anwar Belum ‘Move On’ Ulang Hasutan PH Ketika PRU14 – Shahrir

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berpandangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih meneruskan agenda propaganda Pakatan Harapan (PH) untuk menghasut rakyat Malaysia.

Katanya, Anwar tanpa putus asa masih mengekalkan strategi yang dilakukan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dalam memanipulasi pemikiran rakyat.

“Sudah pun empat tahun selepas PRU14 tapi Anwar belum lagi move on daripada mengulangi propaganda dan hasutan PH semasa kempen PRU14.

“Masih dia terperangkap dalam retorik pembangkang dan tidak mahu menerima hasil audit forensik yang PH telah lakukan sendiri… sekurang-kurang Azmin sudah ‘move on’ dan meninggalkan Anwar Ibrahim dan PKR-PH!

“Itu sebab PH sudahlah percaya kepada propaganda mereka sendiri tapi juga tidak boleh menerima hasil audit forensik yang mereka sendiri lakukan. Itulah retorik mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau juga turut membalas kritikan segelintir pihak berkenaan kenyataannya sebelum ini yang menyifatkan Anwar sebagai retorik pada debat bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Takkan teruk betul pandangan saya terhadap Anwar? Takkan tidak ada fakta sama sekali?
Saya jawab dengan mengambil satu contoh.

“Ini mengenai dengan pandangan Anwar bahawa urus tadbir dan integriti adalah suatu yang penting dan untuk memastikan badan-badan penting kerajaan tidak disalahurus, kenalah buat audit forensik.

“Terus Anwar menyebut Tabung Haji (TH) dan FELDA sebagai contoh di mana telah berlakunya kepincangan pengurusan dibawah pemerintahan Barisan Nasional (BN),” ujar beliau.

Jelas Shahrir kedua-dua badan itu telah diaudit oleh kerajaan PH namun tidak ada seorang dari pengurusan tertinggi TH atau FELDA yang telah didakwa di mahkamah atas sebarang jenayah.

“Ia sebenarnya propaganda dan hasutan semasa PRU14 oleh PH. Lepas dibuat audit forensik tidak ada sesiapa yang didakwa di mahkamah. Pengerusi FELDA sebelum saya betul didakwa di mahkamah tapi ianya dilakukan semasa BN bukan masa PH.

“FELDA ada buat laporan polis terhadap saya dan pihak pengurusan tinggi, polis siasat tapi tidak mendapati apa-apa kelakuan jenayah.

“Terpaksa FELDA pula buat saman sivil terhadap kami, kononnya atas tuduhan berkonspirasi. Berasas atau tidak tuduhan ini, saya akan menjawab dalam mahkamah sivil tapi bagi saya, ianya mengarut!” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.