Selamat Hari Guru, Korban Masa Keringat Demi Kemenjadian Murid – Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan Selamat Hari Guru bersempena sambutan hari ini.

Katanya, guru, cikgu, ustaz, ustazah atau apa gelaran sekalipun mereka inilah insan yang mendidik anak bangsa.

“Mengorbankan masa dan keringat untuk mengajar demi kemenjadian para pelajar dan murid mereka. Semasa ancaman pandemik COVID-19, para guru tetap gigih mencari jalan dan ikhtiar untuk mencurahkan ilmu.

“Berusaha untuk pembelajaran diteruskan dalam norma baharu meskipun perlu melaksanakannya tanpa bersemuka. Kerana itu guru sering diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri bagi menerangi insan lain.

“Bagi diri ini saya ingat semua nama guru saya dari darjah satu hingga ke sekolah menengah. Kerana guru antara insan yang akan saya sentiasa kenangi jasa mereka selagi hayat dikandung badan,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam ucapan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Katanya, guru mencurahkan ilmu dengan keikhlasan mereka mendidik hingga ke menara gading.

“Terima kasih wahai guru. Segala jasa, bimbingan dan pengorbananmu adalah nostalgia yang abadi.
Kepada anak-anak semua hormatilah guru kamu di setiap masa semoga memperoleh keredaan mereka.

“Kepada para ibu bapa hargai dan bekerjasamalah dengan para guru bersama mendidik anak-anak kita. Kepada yang berwajib pastikanlah kebajikan dan motivasi guru sentiasa dipupuk dan disesuaikan peredaran zaman.

“Uruskan bebanan kerja pentadbiran mereka agar guru dapat menumpu sepenuh masa mendidik anak bangsa.”

Ujarnya, tanpa dedikasi para guru, negara tidak akan memiliki anak-anak bangsa yang mampu memacu Malaysia.

“Tanpa curahan ilmu mereka, negara tidak akan mara ke hadapan membentuk kemakmuran dan kesejahteraan.

“Memetik penulisan akademik guru insan penyuluh alam dan menjadi obor menyinari insan. Tanpa ilmu sama ada ilmu dunia atau akhirat manusia akan dibelenggu oleh kejahilan.

“Selamat Hari Guru 2022 kepada guru di serata tanah air. Semoga Allah S.W.T memberkati perjuangan anda semua,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.