Usul Pindaan Perlembagaan UMNO Tangguh Pemilihan Parti Lulus – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan perkara itu menerusi laman Twitter beliau.

“Diluluskan pindaan perlembagaan dengan sebulat suara oleh perwakilan dalam #Dewan Merdeka, #WTCKL pada 15/5/2022. Alhamdulillah,” katanya menerusi ciapan terbaharunya.

Usul pindaan itu yang membabitkan Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 terdahulu dibentangkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled di hadapan 2,586 perwakilan yang hadir.

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas

Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.

Berdasarkan dokumen pindaan yang dibentang, ia memperuntukkan dua cadangan fasal baharu iaitu Fasal 10.16.1 yang menyebut Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, Bahagian dan Cawangan.

Ia menyebut: “Penangguhan berkenaan tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan atau tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat), yang mana terkemudian”.

Fasal 10.16.2 pula menyatakan tarikh PRU yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 bermaksud tarikh mengundi bagi PRU yang dinyatakan dalam writ vang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau mana-mana undang-undang yang terpakai bagi tujuan sama.

Sementara itu kedua-dua Fasal 15.3 dan 18.2 turut memperuntukkan penangguhan serupa bagi pemilihan jawatankuasa ketiga-tiga sayap – Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian dan cawangan.

Persidangan Agung Khas UMNO itu berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang turut disusuli sambutan ulang tahun ke-76 parti terbesar orang Melayu itu dan jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO.

Ia turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.