UMNO Miliki Keistimewaan Dan Kekuatan Tangani Cabaran – Shabery

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpandangan parti ini memiliki keistimewaan dan kekuatan yang tersendiri bersesuaian dengan kematangan sejak penubuhannya.

Katanya, ini kerana UMNO berjaya menempuhi pelbagai cabaran dan krisis dalam memastikan parti ini terus relevan dalam meneruskan perjuangan kepada agama, bangsa dan negara.

“UMNO sebagai satu kenderaan untuk membawa rakyat ini ke arah tuju yang betul dan baik memang melalui pelbagai cabaran dalam ingatan saya ada dua yang perlu kita lihat antaranya adalah krisis yang melanda negara dan krisis yang dihadapi oleh UMNO itu sendiri.

“Alhamdulillah kita lihat banyak krisis negara termasuk sebelum merdeka lagi iaitu darurat, serangan Komunis, insiden 13 Mei termasuk ekonomi melanda negara Asia yang meletakkan Malaysia seperti telur di hujung tanduk namun berjaya ditangani sebaiknya.

“Kalau kepimpinan tidak dapat mengendalikannya sudah tentu negara ini masuk ke dalam kehancuran seperti yang berlaku pada negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program khas Ulang Tahun UMNO 76 Tahun bertajuk ‘Minda Perjuangan Berani Benar’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Jelas beliau lagi, kemelut yang dihadapi parti pula berjaya ditangani sebaiknya oleh kepimpinan sekaligus membuktikan bahawa kesepakatan adalah kunci utama.

“Pernah berlaku perbezaan yang menyebabkan pertukaran kepimpinan, pemimpin dicabar, UMNO diharamkan dan akhir sekali parti kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14. Krisis dalaman tapi diuruskan dengan baik.

“Kita juga melalui fasa-fasa di mana perkara yang menjadi kebiasaan pimpinan UMNO akan ajdi pimpinan kerajaan tetapi kali ini tidak berlaku.

“Setakat ini alhamdulillah telah melalui fasa-fasa tersebut dan diharapkan ada kaedah-kaedah terbaik dapat diuruskan oleh pucuk pimpinan dan penerimaan di peringkat akar umbi tentang apa yang hendak dibawa UMNO ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.