Sentiasa Bersama Rakyat, UMNO Turun Padang Bantu Mangsa Banjir – Amizar

BENTONG, 14 Mei – Jentera UMNO sentiasa ke hadapan dalam memberikan bantuan kepada rakyat termasuklah mangsa banjir yang melanda di Janda Baik baru-baru ini, kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam.

Malah beliau merasa terharu apabila penglibatan jentera UMNO Bentong turut sama-sama turun padang bagi membantu mangsa yang dilanda banjir.

“Jentera UMNO terlibat dari awal pagi sehingga ke waktu ini dan mereka sentiasa memantau perkara-perkara yang bakal berlaku serta membuat tindakan segera. Malah pihak kerajaan negeri turut membantu. Inilah UMNO yang sentiasa tetap bersama dengan seluruh rakyat Malaysia kerana UMNO dekat di hati rakyat.

“Inilah sumbangan UMNO Bentong kepada masyarakat Janda baik dan barangan ini diagihkan mengikut kawasan-kawasan yang telah diberikan. Terdapat 140 buah rumah yang terjejas akibat banjir dan kita sudah melawat hampir keseluruhan kawasan.

“Kita memerlukan penglibatan semua pihak sama ada kerajaan negeri mahupun warga Janda Baik termasuk pengusaha chalet dan penduduk tempatan berganding bahu untuk memastikan kejadian ini tidak akan berulang pada masa akan datang,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seterusnya kata Amizar lagi, prinsip UMNO sentiasa membantu rakyat yang terjejas selepas mereka ditimpa musibah tanpa memberikan publisiti yang meluas.

“Prinsip UMNO ini adalah memberi tanpa promosi dan tidak memaklumkan kepada orang ramai kerana UMNO tidak pernah menghentikan bantuan dan menghulurkan pertolongan pada warga yang menerima musibah. UMNO sentiasa bersama mereka yang menerima musibah tersebut,” jelasnya.

Baru-baru ini hujan lebat yang melanda di kawasan hulu telah mengakibatkan berlakunya limpahan air dari sungai berhampiran.

Ianya lanjutan daripada keadaan sungai yang telah cetek disebabkan banjir besar pada 17 Disember tahun lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.