7 Dekad UMNO, PAU Khas Ahad Ini Catat Sejarah Tersendiri – Ahmad


KUALA LUMPUR, 14 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas kali ini bakal mencatatkan sejarahnya tersendiri selepas penubuhan parti keramat ini sejak tujuh dekad yang lalu.

Katanya ini kerana, selain penganjuran PAU Khas ianya juga turut menyaksikan sambutan Hari UMNO ke-76 dan Hari Raya Aidilfitri diadakan pada hari yang sama.

“Kita akan melakar satu sejarah penting dalam UMNO iaitu tiga program besar dalam satu hari… kali pertama seumpama diadakan seperti ini.

“Sehingga Jumaat ini 2,500 lebih perwakilan sudah menyatakan kesudian untuk hadir daripada 2,600 lebih perwakilan yang diwajibkan hadir, ia adalah suatu perkara yang sangat mengembirakan.

“Kita harap tidak ada apa-apa halangan insya-Allah dengan izin-Nya akan diadakan dengan istimewa dan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada raptai penuh PAU Khas yang dikendalikan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian juga meluahkan kesyukuran kerana segala persediaan telah dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Persiapan alhamdulillah syukur dewan, atucara, usul, kehadiran, vip jemputan semuanya sudah siap.

“Tidak ada penjarakan semuanya dibuat di Dewan Merdeka tetapi kena pakai pelitup muka,” ujar beliau.

Terdahulu, PAU ini diadakan untuk meminda perlembagaan parti selaras dengan perkara yang telah diluluskan pada PAU 2021 lalu.

Pada hari tersebut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka dan penggunaan sanitasi.

Perwakilan yang hadir juga diwajibkan untuk menunjukkan status di aplikasi MySejahtera kepada urusetia sebelum memasuki dewan bagi mengelakkan penularan COVID-19. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.