Perhimpunan Agung Khas UMNO Pada Ahad, Raptai Berlangsung Lancar

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Raptai penuh bagi Perhimpunan Agung Khas UMNO (PAU Khas) berjalan lancar di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Bermula jam 2.30 petang, raptai berlangsung lancar di bawah pemantauan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan dikendalikan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka dan penggunaan sanitasi.

Perwakilan yang hadir juga diwajibkan untuk menunjukkan status di aplikasi MySejahtera kepada urus setia sebelum memasuki dewan bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Buat julung kalinya, selain PAU Khas sambutan Hari UMNO ke-76 dan Hari Raya Aidilfitri turut diadakan pada hari sama yang bakal dihadiri oleh pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

Terdahulu, PAU ini diadakan untuk meminda perlembagaan parti selaras dengan yang terkandung di dalam perkara diluluskan pada PAU 2021 lalu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata salah satu daripada lapan perkara atau usul yang diluluskan adalah berkaitan soal pemilihan parti dalam usaha memperkasakan lagi UMNO untuk berdepan dengan segala cabaran yang mendatang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.