Terima Kasih Jururawat, Wira Negara Nadi Perkhidmatan Kesihatan – Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Hari Jururawat disambut di seluruh dunia pada 12 Mei setiap tahun bagi mengenang jasa golongan itu kepada masyarakat.

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih kepada seluruh jururawat walau di mana mereka sedang menabur budi ketika ini.

“Jururawat antara nadi perkhidmatan kesihatan yang bertungkus lumus menjaga dan membantu pesakit saban hari.

“Mereka malah sebahagian daripada wira negara ketika dunia sedang berdepan dengan ancaman berbahaya pandemik COVID-19,” katanya menerusi hantaran dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ketika yang lain mengelak berada hampir dengan pesakit kerana bimbangkan jangkitan, mereka berada di sisi membantu rawatan diberikan namun tidak bagi jururawat.

“Jururawat menyedari tentang risikonya, tetapi itu tidak pernah menghalang mereka daripada meneruskan tugasan nan mulia.

“Jururawat pasukan professional yang sentiasa dinamik dan responsif terhadap keperluan kesihatan dan persekitaran semasa,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.