Perjuangan Besar UMNO Demi Agama, Bangsa Dan Negara – Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya bahawa parti keramat ini merupakan sebuah organisasi besar dan kaya dengan tradisi yang relevan dahulu, kini dan akan datang.

Jelas beliau hari demi hari, parti ini semakin pulih malah mendapat perhatian dan kini mengambil tempat dan kedudukan bukan sahaja daripada kalangan ahli namun juga mereka yang berhasrat menyertai perjuangan parti UMNO.

“Pengertian di sebalik penglibatan kita di dalam UMNO ini adalah lebih dari sekadar mendaftar sebagai ahli, memakai baju parti dan menyertai program parti.

“Ia bukan sekadar transactional apabila kita melakukan khidmat dengan harapan budi itu akan dikenang atau dibalas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya lagi, penyertaan masyarakat dalam UMNO adalah usaha membentuk hubungan berterusan parti dalam menyantuni rakyat.

“Kita semua merupakan sebahagian daripada usaha amal dan bakti yang lebih besar demi agama, bangsa dan negara.

“Jadi setiap ahli UMNO yang meraikan ulangtahun parti bersejarah ini, dari kepimpinan hingga ke akar umbi, ingin saya mengingatkan tujuan kita di dalam parti, peranan untuk negara dan semangat yang perlu dibawa dalam menjayakan ikhtiar UMNO ini dan semangat ini penting kerana parti ini bukan sekadar pucuk pemimpin atasannya, tetapi UMNO adalah diri anda semua.

“Wujud satu keperluan mendesak untuk mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap negara ini. Semangat kembali memulihkan dan mengukuhkan parti mesti dilaksanakan secara berterusan,” ujar beliau.

Beliau juga berjanji untuk memainkan peranan tersendiri dalam membawa parti keramat ini sebagai persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, katanya bukan sekadar itu sahaja beliau dan kepimpinan yang lain juga akan memastikan UMNO memainkan peranannya dalam mengemudi negara dengan baik.

“UMNO akan mencari pendekatan terbaharu dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang maju, beriltizam dan berdaya saing. Dasar-dasar berteraskan keperluan rakyat semasa akan terus dilaksanakan dan diperbaharui. UMNO mendengar segala permasalahan rakyat.

“… akan terus memantapkan ideologi politiknya selaras dengan keperluan semasa supaya rakyat memahami aspirasi dan visi UMNO untuk Malaysia. UMNO terus menjayakan agenda politik inklusif yang lebih berpusatkan rakyat. From Big Government to Big Society.

“Bergerak dan memimpin jalan kehadapan yang lebih segar untuk negara yang menjamin bahawa kerja keras, bakat, kesetiaan, kudrat serta kelayakan akan menjadi sumber kehormatan, peluang dan kejayaan setiap rakyat Malaysia.

“Telah banyak polemik politik yang menyebabkan rakyat letih dan lesu kebelakangan ini masanya telah tiba untuk UMNO mengembalikan Malaysia ke landasan terbaik demi masa depan yang terjamin dengan idea-idea terbaik dan kepimpinan yang terbukti,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.