Perjalanan Panjang UMNO Bawa Matlamat Perjuangan Sebenar – Zahida

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Bersempena ulang tahun UMNO ke-76 semalam, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berpandangan perjuangan parti keramat ini memberi signifikannya tersendiri.

Katanya, pelbagai cabaran ditempuhi sepanjang tempoh tersebut namun ianya tidak mematahkan semangat dalam berpegang kepada asas pembentukan parti ini.

“Hidup kita adalah suatu perjalanan yang jauh dan parti kita UMNO adalah sebuah kenderaan yang membawa kita ke matlamat yang dikehendaki.

“Dalam perjalanan ada liku-likunya ada yang naik, ada yang turun bukit ada lopak yang memberi hentakan kepada kita.

“Ada masa kenderaan ini perlu berhenti mengisi minyak dan memperbaiki mana yang rosak,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook.

Jelas beliau lagi, bagi meneruskan kesinambungan dalam memperkasa agama, bangsa dan negara eleman yang terpenting adalah muafakat dalam kalangan ahli parti.

“Kita teruskan perjalanan ini… penumpang dan pemandu ada peranannya perlu saling mengingati dan saling bekerjasama antara satu sama lain.

“Paling penting kita semua selamat dan mencapai matlamat yang hendak kita tuju, perjalanan ini jauh dan memerlukan kesabaran, ketabahan dan kekuatan kita semua… untuk itu selamat menyambut ulang tahun kelahiran UMNO yang ke-76,” ujar beliau.

UMNO sebagai sebuah parti terbesar orang Melayu meraikan ulang tahunnya saban tahun pada 11 Mei.

Terdahulu bagi menyemarakkannya, Ibu Pejabat UMNO Malaysia menganjurkan Wacana Aspirasi UMNO bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu, pada Ahad sambutan ulang tahun UMNO juga sekali lagi dianjurkan bersama Perhimpunan Agung Khas UMNO dan jamuan Hari Raya Aidilfitri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.