Pastikan Nasib Generasi Akan Datang Terbela Ditadbir UMNO – Mutalif

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berpandangan Ulang Tahun UMNO ke-76 tahun ini menjadi simbolik untuk kebangkitan parti terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, ianya juga sebagai medan untuk melupakan segala perbezaan pendapat seterusnya menuju perpaduan bagi membawa agenda perjuangan membela nasib rakyat.

“Inilah masa untuk bersatu padu, buang yang keruh ambil yang jernih.

“Kita bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menuju kejayaan memakmurkan rakyat pastikan anak cucu kita terbela dahulu, kini dan selamanya.

“Tahun ke-76 ini bangkit semula pastikan Putrajaya kembali menjadi milik kita pada PRU15 nanti… saya yakin dan percaya insya-Allah,” katanya.

Jelas Abdul Mutalif lagi, rakyat juga kini sudah menyedari bahawa hanya parti keramat ini sahaja yang berupaya membela nasib mereka terutama selepas tragedi PRU14 yang lalu.

“Rakyat sudah nampak begitu jelas dengan 22 bulan… apa yang mereka dapat? Jadi UMNO sahaja yang akan selalu martabatkan rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online