Jasa UMNO Terlalu Banyak, Dasar Polisi Diperkenal Bolehkan Pelbagai Kejayaan Kepada Bangsa, Negara

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Presiden Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose merakamkan terima kasih atas segala jasa UMNO sepanjang menunjangi kerajaan Malaysia sebelum ini.

Katanya, beliau merasa terhutang budi yang amat sangat kepada parti yang telah melahirkan dasar-dasar serta polisi yang memberi ruang untuk membentuk diri dan kerjaya sehingga apa yang dikecapi sekarang ini.

“Rasa terhutang budi itu meluap-luap dalam hati saya. Walaupun saya bukan aktif dalam kepartian, sempena hari ulang tahun kelahiran UMNO ini saya percaya tidak adil untuk kita melupakan semangat perjuangan orang-orang yang telah melahirkan wadah kepada orang Melayu ini,” ujarnya.

Beliau seterusnya menambah dasar dan polisi yang dibawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah membolehkan pelbagai kejayaan dapat dilihat termasuklah dalam sektor pendidikan.

“Saya dalam sektor pendidikan… masa saya dahulu hanya ada Universiti Malaya (UM) sahaja. Sekarang ini kita mempunyai 400 lebih universiti dan Malaysia dikira salah satu hub pendidikan tinggi antarabangsa. Penubuhan institusi di negara kita atas kesedaran bahawa pendidikan akan membawa negara ke arah yang lebih berjaya lagi.

“Begitu juga dengan penubuhan UiTM (Universiti Teknologi Mara)… ini antara institusi yang ditubuhkan untuk mendidik anak bangsa ke arah yang lebih maju lagi. Kemudiannya USM (Universiti Sains Malaysia) dan UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) serta seterusnya banyak lagi universiti sehingga banyak ruang yang terbuka luas untuk semua anak-anak kita belajar.”

Jelasnya, dengan polisi dan dasar yang diperkenalkan kerajaan ditunjangi UMNO pelbagai ruang dalam pendidikan diangkat yang memberi kemajuan kepada anak bangsa.

“Dulu saya masih ingat kita tidak ada ruang untuk memasuki universiti… dan sepertimana yang saya sebutkan tadi polisi-polisi kerajaan yang dipimpin UMNO memberi ruang untuk menghantar anak-anak belajar sehingga kita semua mendapat peluang.

“Saya tidak terfikir untuk keluar negara… anak orang miskin, anak orang kampung tetapi kita sangat bersyukur kerana kerajaan telah memberi ruang dan inilah rasa terhutang budi yang amat sangat yang membuatkan saya ingin sama-sama berkongsi hari ini,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian menerusi Wacana Aspirasi UMNO (WAU) yang menampilkan tiga panel lain yang diadakan sempena ulang tahun ke-76 penubuhan parti itu semalam.

Wacana yang bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ itu turut menampilkan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Presiden Alumni Parlimen Belia Malaysia Mohamad Nazrin Faiz Che Abd Aziz dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Dr Masliha Harun sebagai panel jemputan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.