UMNO Wadah Perjuangan Sejati, Terbukti Hingga Kini – Rais

KUALA LUMPUR, 11 Mei –  Ahli Dewan Undangan  Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin melihat UMNO walaupun pernah kecundang pada satu ketika kerana dakyah serta pelbagai janji palsu, namun hari ini ulang tahunnya yang ke-76 memperlihatkan parti tersebut terus bangkit menongkah cabaran.

Menurut beliau yang juga EXCO Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Melaka, atas niat suci sejak sekian lama dalam usaha membela rakyat serta membangunkan negara, hari ini parti berkenaan terus mendapat kepercayaan rakyat dan meneruskan khidmat baktinya.

“Walau pernah kecundang pada 2018 dek kerana fitnah dan janji palsu, tetapi UMNO berjaya bangkit kembali dengan kekuatan baharu yang lebih padu. Musuh-musuh yang dulu ingin mentalkinkan dan mengkuburkan, kini terkulai layu dan rebah mencari jalan baharu untuk menghancurkan UMNO. Izin Ilahi, sudah pasti misi jahat bakal gagal kerana keutuhan soladiriti akar umbi.

“Walau mencecah usia keemasan, namun di bawah kepimpinan hebat oleh ayahanda Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan pelbagai peringkat, UMNO masih tampil segar sebagai wadah perjuangan sejati buat pejuang ABATA yang ikhlas,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Rais yang juga Ketua Pemuda UMNO Tangga Batu seterusnya menambah UMNO tetap kekal menjadi payung serta pelindung kepada seluruh rakyat selain berjaya memacu negara ke tahap yang membanggakan.

“Dilahirkan pada tanggal 11 Mei 1946 atas satu niat suci iaitu demi menyatukan kaum Melayu dalam perjuangan menentang penjajah tanah air. Tertubuhnya UMNO menjadi wadah perjuangan sejati buat semua anak Melayu tanpa mengira darjat dan harta.

“Jasa dan budi UMNO membawa kemakmuran tidak boleh disangkal sama sekali. Sejak awal kemerdekaan hingga ke alaf baharu, UMNO tetap kekal menjadi payung pelindung buat rakyat Malaysia. Segala dasar dan polisi pentadbiran UMNO terbukti mampu memacu negara ke persada antarabangsa.

“Selamat menyambut ulang tahun ke 76 buat UMNO dan jutaan ahli yang setia. Ayuh kita bersolidariti dan kumpulkan kekuatan menghadapi peperangan demi menjunjung Agama, menjulang Bangsa dan mendaulat Tanah Air. Yakinlah, Allah SWT pasti bersama kita,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.