Selamat Ulang Tahun UMNO, Masih Bertapak Di Hati Kerana Asas Penubuhannya – Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Bersempena ulang tahun UMNO ke 76 tahun, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan tentang perjuangan UMNO yang masih terus relevan sehingga kini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional, menerusi hantaran dalam laman facebooknya turut menyorot tentang perjuangan UMNO.

Berikut kenyataan beliau yang ditujukan khusus kepada ahli-ahli UMNO:

Ahli-ahli UMNO sekalian,
Mereka yang menyatakan UMNO sudah tidak relevan suatu kesilapan besar.

Mereka itu sedang bermimpi di siang hari. Mengandaikan yang mustahil dan bukan-bukan.

UMNO sebaliknya umpama pohon besar yang sedang menanti detik kembali berbuah.

Meskipun pernah seakan-akan nyaris tumbang dipukul ribut, namun akarnya begitu utuh lagi kuat.
Pohon UMNO nan luhur tetap teguh berpacak memayungi segenap naungannya.

Rakan-rakan UMNO sekalian.

UMNO dilahirkan dengan air mata pengorbanan orang Melayu.

UMNO dilahirkan di Istana Melayu dan parti terbesar orang Melayu sejak 11 Mei 1946.

UMNO mendepani rancangan Malayan Union oleh British demi survival bangsa Melayu.

UMNO mempertahankan kedaulatan institusi diraja dan Raja-Raja Melayu.

UMNO mengangkat kepentingan Melayu lagi memperkasakan syariat agama.

UMNO jua sebuah parti politik semangat nasionalisme Melayu berpaksikan Islam.

Kerana itu UMNO masih bertapak di hati Melayu disebabkan asas penubuhannya yang jelas.

Bagaimanapun UMNO tidak pernah sama sekali mengenepikan hak bukan Melayu.

Sejarah berpuluh tahun UMNO mengemudi teras pentadbiran negara sebagai bukti.

Sahabat-sahabat UMNO sekalian.
UMNO akan kembali berjuang dalam PRU akan datang.

Amalan kita bermuafakat dan tidak berpecah belah. Serumpun bak serai, sesusun bak sireh.

Perjuangan UMNO pada PRU-15 jauh lebih murni. Demi sebuah kebenaran dan kewajipan.

Insya-Allah rakyat bersama UMNO kerana UMNO akan terus bersama rakyat.

#UMNOBangkit
#PRU15
#DemiAgamaBangsaNegara
#DuluKiniSelamanya

Selamat Menyambut Ulang Tahun UMNO ke-76

ZAHID HAMIDI