Perpaduan, Perjuangan Orang Melayu Bentuk Penubuhan UMNO – Mohamad

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Bersempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-76, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengimbau kembali perpaduan orang Melayu terdahulu yang bertungkus lumus membawa kepada penubuhan parti keramat ini.

Katanya, bagaimanapun di sebalik itu pelbagai cabaran dilalui bagi memastikan sebuah entiti dibina dalam membawa aspirasi rakyat pada ketika itu

“UMNO itu dibidani kelahirannya, melalui muafakat pelbagai kumpulan madani Melayu, yang mahukan tanah air yang merdeka. Orang Melayu waktu itu bersemangat sekali, untuk bangkit menentang Malayan Union.

“Maka berlakulah pelbagai perdebatan yang hebat di kalangan pemuka, pemimpin dan aktivis bangsa Melayu, tentang bagaimana harus mereka bergerak ke hadapan.

“Ada yang mencadangkan gerakan bersenjata, ada yang menganjurkan kebangkitan rakyat yang radikal… ada yang mencetuskan idea menubuhkan pergerakan politik serta pelbagai idea lain yang disarankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Wacana Aspirasi UMNO bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia di Auditorium UMNO, Aras 4 Menara Dato’ Onn, hari ini.

Tambah beliau lagi, melalui beberapa perbincangan yang dicapai maka akhirnya terbentuklah UMNO sebagai wadah politik bangsa Melayu pada ketika itu.

“UMNO sebenarnya lahir, bukan sekadar dari sebuah semangat tanpa akal, tetapi pemikiran yang tajam.

“Kerana wacana yang pelbagai inilah, maka lahirlah cadangan bahawa, perjuangan kemerdekaan mestilah damai sifatnya mesti menggunakan wadah politik.

“Mendakap strategi perpaduan dan kesatuan, agar wujud satu ketumbukan politik Melayu yang berpengaruh ianya natijah daripada pelbagai sesi debat, perbincangan, pertukaran idea dan wacana,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.