Mendepani Cabaran, Pesona UMNO Perlu Sesuai Berzaman – Mohamad

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan parti ini perlu mempunyai pesonanya yang tersendiri bersesuaian dengan peredaran zaman.

Jelas beliau, bagi mendepani cabaran pada masa hadapan parti keramat ini harus merangka strategi bagi memastikan kelangsungan UMNO dalam membela nasib agama, bangsa dan negara.

“Berlumba-lumbalah untuk mempelajari yang baru dan terkini kerana UMNO memerlukan idea baru, cetusan yang berkesan dan pemikiran yang luar biasa, dalam melayari landskap politik Malaysia, yang telah menjadi sangat kompleks.

“Dari mana, akan kita akan dapati semua ini, jika bukan daripada semua pemegang taruh Melayu.

“Justeru, sempena perjumpaan kita hari ini, saya menyeru, agar apa yang kita lakukan hari ini, mesti menjadi budaya dalam UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Wacana Aspirasi UMNO bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia di Auditorium UMNO, Aras 4 Menara Dato’ Onn sebentar tadi.

Sementara itu, Mohamad juga turut mengalu-alukan diskusi wacana tersebut untuk dijadikan panduan buat UMNO dalam membawa perjuangan politik yang lebih segar dan kontemporari berlandaskan idea terbaik.

“Maka manfaatkanlah, wacana seperti hari ini, sebagai pemula untuk UMNO itu, menjadi lebih berdaya saing.

“Kerana kita berharap agar idea yang bernas dan kritikan yang pedas itu, dapat menjadi sandaran untuk parti, merencanakan dasarnya buat negara dan bangsa. Gunakanlah peluang hari ini untuk terus merencana strategi.

“Meneruskan kelangsungan kita untuk 70 tahun lagi malah mungkin untuk seabad lagi. Benar, masa depan itu rahsia Tuhan, dan masa adalah saksi segala-galanya,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.