Alhamdulillah… 76 Tahun Obor Perjuangan UMNO Terus Menyala – Sharkar

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap UMNO terus kekal relevan untuk mendepani segala cabaran dalam usaha meneruskan khidmat baktinya terhadap rakyat dan negara ini.

Sempena ulang tahun parti itu ke-76 hari ini, Sharkar yang juga Ketua UMNO Temerloh seterusnya mendoakan agar seluruh ahli parti dan pimpinan pelbagai peringkat kekal istiqamah dengan hasrat serta perjuangan parti keramat ini.

“Selamat menyambut hari ulang tahun UMNO yang ke-76. Semoga parti keramat ini terus kekal releven bagi membela dan memperjuang nasib rakyat. Biarpun sebelum ini UMNO diuji dengan kekalahan, Alhamdulillah hari ini obor perjuangannya terus menyala.

“Saban hari dan saban bulan serta saban tahun, perjuangan parti keramat ini seolah-olah tidak ada titik noktah sebaliknya terus menerus berkhidmat untuk rakyat seluruhnya dan juga dalam konteks pembangunan negara,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

UMNO menyambut ulang tahun ke-76 hari ini dan sambutan secara sederhana diadakan dengan majlis bacaan tahlil dan yassin serta forum selain pengisian program yang lain khususnya pada Ahad ini.

Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang seterusnya menambah, Alhamdulillah hasrat musuh-musuh UMNO yang ingin melihat parti berkenaan terus lumpuh sejak kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu tidak kesampaian.

Namun katanya perkembangan berkenaan jangan dianggap sebagai kelebihan apatah lagi untuk berpeluk tubuh sebaliknya sama-sama berusaha dan saling bermuafakat untuk memastikan parti mencapai kejayaan pada PRU akan datang.

“Selamat menyambut ulang tahun UMNO  ke-76. Marilah  kita sama-sama bersolidariti dan sama-sama dalam satu saf untuk memastikan parti keramat ini meneruskan khdimat baktinya untuk rakyat dan negara,” tambahnya.- UMNO Online