Zahid Rakam Selamat Hari Bomba Sedunia, Disambut Semasa Perayaan Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan Selamat Hari Bomba Sedunia 2022 yang disambut semasa musim perayaan Aidilfitri kepada seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Katanya, hari bomba tentunya mengingatkan tentang kisah kecekalan para pegawai dan anggotanya bertugas 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa kenal penat lelah.

“Melaksanakan misi memberi perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan yang profesional bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda demi kesejahteraan rakyat.

“Bagi mencapai visi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjadi sebuah organisasi kebombaan dan penyelamatan berprestasi tinggi,” katanya dalam ucapan sempena Hari Bomba Sedunia 2022 menerusi laman facebooknya, hari ini.

Katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), sambutan hari bomba turut mengingatkan tentang sejarah perkhidmatan bomba Malaysia yang amat panjang di tanah air bermula tahun 1883.

“Begitu juga mengingatkan kita tentang jasa dan bakti pasukan itu membantu rakyat dalam apa jua bencana di darat mahupun di air sejak dulu hingga kini.

“Kisah keperwiraan para pegawai dan anggota bomba yang terkorban demi tugas kepada negara dan masyarakat tetap segar dalam ingatan.

“Dan pastinya kita mengingati peristiwa sedih kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dalam insiden rusuhan dan kebakaran pada November 2018.”

Doa Zahid, semoga laporan akhir siasatan kes itu memberi keadilan buat seisi keluarganya dan seluruh rakyat Malaysia yang masih berasa kesal hingga hari ini.

“Sekali lagi selamat menyambut Hari Bomba Sedunia 2022 kepada seluruh warga Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia walau di mana anda berada,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.