Raikan Syawal Dengan Kesyukuran Bersama Keluarga Tercinta

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Ketua UMNO Bahagian Gombak Datuk Megat Zulkarnain Omardin meluahkan kesyukuran dengan kesempatan diberikan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Jelas beliau, selepas dua tahun umat Islam beraya secara sederhana namun pada kali ini ianya berbeza apabila masing-masing dapat menyambutnya bersama keluarga tercinta di kampung masing-masing.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin buat semua rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli UMNO yang berada di seluruh negara.

“Alhamdulillah pada tahun ini kita dapat berhari raya dengan lebih meriah setelah dua tahun kita dikenakan had pergerakan.

“Mudah-mudahan raya pada tahun ini akan memberikan keceriaan buat kita dan seluruh ahli keluarga. Namun dalam masa yang sama kita juga mengambil kesempatan mudah-mudahan memohon doa agar negara kita akan berada dalam keadaan lebih baik di masa-masa akan datang,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Kesempatan sama turut diluahkan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim yang berharap umat Islam yang pulang ke kampung masing-masing untuk berhati-hati memandu.

Bagaimanapun katanya, di samping merayakan hari mulia ini bersama keluarga sikap berhati-hati dengan keadaan sekeliling adalah penting bagi mengelakkan penularan COVID-19.

“Berhati-hati di jalan raya semasa nak pulang ke kampung kerana tercinta menunggu anda di sana. Saya mengambil kesempatan ini ingin memohon maaf jika ada kekhilafan bahasa ataupun terkata dengan sengaja atau pun tidak.

“Kita jaga kita kali ini, insya Allah semua bersama keluarga bersuka ria… jangan lupa prosedur operasi standard (SOP) mesti dijaga,” ujar beliau. – UMNO Online