Pasukan Bomba Wira Kebanggaan Negara – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa bangga dengan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sentiasa komited dalam menggalas tanggungjawab demi keselamatan Keluarga Malaysia.

Beliau menyifatkan pasukan tersebut sebagai wira kebanggaan negara dan barisan hadapan yang sentiasa bersedia tanpa mengira waktu untuk membantu Keluarga Malaysia yang memerlukan pertolongan.

“Siap siaga pada setiap bencana, marak api mereka tawan, untuk menyelamatkan Keluarga Malaysia demi tugas yang diamanahkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini, sempena Hari Anggota Bomba Sedunia.

“Terima kasih kepada anggota bomba dan penyelamat negara. Selamat Hari Bomba Sedunia, Bomba barisan hadapan Keluarga Malaysia,” tambahnya.

Hari Anggota Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei setiap tahun dan tema pada tahun ini ialah ‘Bomba Frontliners Keluarga Malaysia’. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.