Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PM Ismail Sabri Pada Ahad Ini

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjemput seluruh Keluarga Malaysia untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri pada Ahad ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau semalam, Ismail Sabri berkata majlis itu akan diadakan di Laman Sari, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya bermula 10 pagi hingga 4 petang.

“Kita berkumpul dan bersama-sama meraikan Aidilfitri sebagai sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia.

“Insya-Allah banyak juadah enak disajikan, untuk Keluarga Malaysia yang tersayang. Kita jumpa nanti ya…” katanya.

Jabatan Perdana Menteri menerusi hantaran Facebook pada 30 April lepas memaklumkan, semua yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard terkini semasa Fasa Peralihan Ke Endemik dan digalakkan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Hantaran itu turut melampirkan poster panduan pakaian dan maklumat perkhidmatan bas percuma untuk ke majlis tersebut.

Berdasarkan poster itu, pakaian yang dibenarkan ialah baju berlengan, seluar panjang, skirt bawah paras lutut dan berkasut manakala pakaian yang dilarang ialah seluar pendek bawah paras lutut, skirt pendek atas paras lutut, baju tidak berlengan, seluar jeans koyak dan selipar.

“Orang ramai hendaklah berpakaian kemas dan sopan. Kegagalan mematuhi etika pemakaian ini boleh mengakibatkan anda tidak dibenarkan memasuki Kompleks Seri Perdana,” menurut petikan di poster itu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal dan media sosial JPM dari semasa ke semasa. – BERNAMA