Syukur Nikmat Diberikan Allah Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun Ini – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid meluahkan kesyukuran dengan kenikmatan yang diberikan Allah SWT untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Katanya, ini kerana berbeza seperti dua tahun lalu, umat Islam di seluruh negara berkesempatan meraikannya di kampung halaman masing-masing.

“Ini merupakan tahun di mana kita dapat beraya di kampung halaman dengan sanak saudara dan keluarga kerana selama dua tahun oleh kerana pandemik COVID-19 kita telah dikurung dan tidak dapat ke mana-mana.

“Alhamdulillah pada tahun ini kerajaan telah memberi kelulusan untuk membolehkan kita bergerak balik ke kampung dan seterusnya dapat beraya dengan keluarga,” katanya pada UMNO Online.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar turut berharap mereka yang merancang pulang ke kampung untuk berhati-hati memandu dan dipermudahkan urusan ke destinasi masing-masing.

“Saya berharap semua yang berhasrat untuk balik ke kampung halaman pandulah dengan cermat. Mudah-mudahan akan selamat sampai ke destinasi dan kemudiaannya selepas hari raya ini kita selamat kembali ke tempat kerja masing-masing.

“Mengambil kesempatan ini saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di negara Malaysia khususnya ahli-ahli UMNO,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.