Negara Capai Fasa Peralihan Endemik, Aidilfitri Lebih Bermakna – Noraini
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan Hari Raya Aidilfitri kali ini memberi makna yang tersendiri kepada umat Islam terutama di negara ini.
Katanya ini kerana pada tahun ini pelbagai kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan apatah lagi status negara daripada pandemik juga sudah mencapai ke fasa peralihan endemik.
“Semoga raya kali ini memberi lebih bermakna dengan keadaan kita yang berubah menjadi endemik.
“Saya ingin mengucapkan selamat hari raya bagi pihak Wanita UMNO Malaysia kepada seluruh Wanita di peringkat bahagian, cawangan, ahli-ahli UMNO dan juga rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Sementara itu, Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi berharap sambutan raya ini dapat dimanfaat sebaiknya dalam mengeratkan ukhuwah antara keluarga dan rakan-rakan.
“Diharapkan peluang untuk beraya ini kita jadikan sebagai satu acara merapatkan silaturahim dengan semua pihak sama ada dalam kalangan ahli sendiri juga bersama dengan keluarga dan masyarakat setempat,” ujar beliau. – UMNO Online