PH 2.0 Atau Strategi Lain, UMNO Fokus Gerak Kerja Dekati Rakyat – Zaidy

KUALA LUMPUR, 29 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berpandangan gerak kerja parti yang konsisten dalam mendekati rakyat adalah penting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun katanya, di sebalik itu UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu berhati-hati dengan parti lawan yang sudah tentu akan melakukan pelbagai helah demi mencapai keuntungan mereka.

“Kita harus bersedia bahawa pihak pembangkang akan mencari jalan apa saja untuk memastikan BN kalah. Sama ada gabungan baru Pakatan Harapan (PH) 2.0 atau ada gabungan parti lain.

“Harus fokus abaikan segala anasir-anasir jahat yang cuba merosakkan parti kita. Harus bersama dalam menempuhi peperangan sebenar tidak lamai lagi. Ahli-ahli UMNO perlu satu hati, cekal dan sentiasa berprinsip di dalam menempuhi cabaran ini.

“Kami juga merayu dan mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa janganlah kita tertipu untuk kali kedua. Cukup-cukuplah kita telah ditipu selama ini. Sama-samalah kita mencari jalan keluar dari kemelut politik negara mencari kestabilan demi kemakmuran,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mohd Zaidy yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jempol juga melahirkan sokongan dengan mandat yang telah dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi baru-baru ini.

“Kami juga menyokong penuh bahawa memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai 2022 diputuskan tidak akan diteruskan lagi dan harus ditamatkan.

“Berharap pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk lulustanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.

“UMNO berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara, dihormati dan memastikan kestabilan politik negara,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.