Cubaan PPBM Mahu Bertaut Kembali Bersama Dap, PKR – Khairi

KUALA LUMPUR, 29 April – Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A. Malik melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menerusi Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berusaha untuk mengembalikan Pakatan Harapan (PH) 2.0.

Katanya, keadaan ini jelas menyaksikan Muhyiddin cuba mewujudkan kembali gabungan tersebut sepert yang dilakukan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Memang Muhyiddin cuba untuk menyatukan kembali parti-parti pembangkang ketika berdepan dalam PRU14.

“Keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor jelas membuktikan bila mereka bertanding secara berasingan mereka tidak dapat nak menandingi Barisan Nasional (BN) sebab itu sekarang usaha untuk mewujudkan PH 2.0 sangat jelas,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Jelas Mohammad Khairi, situasi tersebut bagaimapun bergantung kepada parti-parti di bawah PH pada ketika ini sama ada mahu menerima PPBM atau sebaliknya.

“Cuma sama ada parti lain seperti Pejuang, PKR, Dap dan Amanah boleh menerima atau tidak gerakan yang sedang dijalankan oleh Muhyiddin ini,” ujar beliau.

Tambah beliau, dalam mendepani perkara ini UMNO/BN memainkan peranan dalam mengingatkan rakyat berkenaan kegagalan PH dalam mentadbir negara sepanjang 22 bulan.

Katanya lagi, keputusan PRN sebelum ini juga jelas menunjukkan bahawa penolakan rakyat pada PH semakin memuncak.

“Pada UMNO yang penting adakah rakyat atau pengundi boleh menerima atau tidak sekiranya wujud kembali PH 2.0 dalam PRU akan datang?

“UMNO mesti memastikan segala penerangan dan peringatan kepada rakyat dan pengundi mengenai kegagalan pemerintahan 22 bulan ketika PH memerintah selepas PRU14 dapat dibuat.

“Banyak perkara yang boleh dibangkitkan tentang kegagalan PH yang lalu untuk menjadi ingatan kepada pengundi sekiranya berlaku penyatuan PH 2.0 dalam PRU15.

“PRN di tiga negeri juga sudah membuktikan yang rakyat sudah serik untuk duduk diperintah dari parti-parti yang berada di bawah PH,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.