Banyak Sempadan Perlembagaan, Agama Diceroboh PH Ketika Tadbir Negara – Razlan

KUALA LUMPUR, 29 April – Umum semua tahu bagaimana Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara ini selama 22 bulan dan ia menjadi mimpi ngeri untuk rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Ujarnya, banyak sempadan perlembagaan yang sepatutnya dilindungi oleh kerajaan diceroboh demi memenuhi keinginan PH melemahkan keistimewaan sempadaan agama Islam dan orang Melayu.

“Kita melihat ketika itu keistimewaan ini dicabar, mereka bebas melakukan budaya songsang dengan berleluasa, mereka membenarkan kaum LGBT berhimpun, dan paling teruk apabila mereka cuba untuk melemahkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Hari ini, terbukti sekali lagi apabila 76 MP (ahli Parlimen) pembangkang terus mengkritik bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana mereka tidak bersetuju dengan hukuman yang dikenakan kepada ahli Parlimen mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya lagi, rakyat terutamanya orang Melayu perlu sedar akan tindakan PH dan apakah objektif mereka sekira sekali lagi diberi kuasa.

“…tiang seri perlembagaan negara sudah pasti akan digugat demi untuk mencapai negara liberal yang bebas tanpa meletakan Islam itu sebagai keistimewaan.

“Sekira nak diulangi sejarah hitam umat Islam di bawah mereka, pilihlah PH. Rakyat Malaysia yang sekian lama hidup dengan sempadan agama yang tersusun dan menghormati satu sama lain sengaja diusik demi untuk meracuni agama yang lain kononya Islam itu memiliki keistimewaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Kenapa perlu PH mengganggu-gugat bidang kuasa ini? Teringat sejarah di Selangor, tangkapan khalwat dicabar oleh pemimpin PH kononnya beralasan hak asasi manusia,” bidasnya lagi.

Seterusnya katanya lagi, ada banyak lagi peristiwa menjadikan Islam dicabar semasa PH memerintah.

“Ya, benar kita berpolitik, tetapi kenapa sehingga mereka sanggup mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah seumpama mahu ianya dihapuskan sedikit demi sedikit.

“Adakah tujuan mereka untuk membubarkan Mahkamah Syariah dan menuju kepada negara bebas tanpa ada undang-undang yang dikhaskan untuk menjaga kesucian Islam di negara ini.

“Janganlah biarkan ini terjadi. Bersama kita berdoa agar Malaysia dan Raja-Raja Melayu terus dilindungi dari PH,” serunya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.