Amal Prinsip Tangan Kanan Memberi, Jangan Diketahui Tangan Kiri Dalam Kerja Kebajikan – Zahid

KUALA LUMPUR, 29 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan bahawa beliau tidak pernah berniat untuk menghebohkan kerja-kerja yang dilakukan selama ini.

Katanya, meskipun begitu perkara tersebut terpaksa didedahkan untuk membantu proses pertuduhan yang dihadapi beliau di mahkamah.

“Fahamilah tidak pernah terlintas di hati saya untuk bersikap riak atau takbur di sebalik kerja-kerja kebajikan saya lakukan… bagi saya apa erti membantu sesama insan jika di fikiran mahukan kemuliaan dunia semata-mata.

“Sedangkan ada nikmat serta ganjaran yang jauh lebih besar serta bermanfaat untuk dikecapi di akhirat nanti. Bukankah tangan kanan memberi, tangan kiri tidak harus ketahui.

“Kerana itu saya tidak banyak menghebahkan tentang kerja-kerja kebajikan saya sebelum ini. Sesungguhnya saya mendambakan sebuah keikhlasan yang mutlak dalam kerja-kerja kebajikan saya percaya membantu dengan nawaitu ikhlas tanpa mengharapkan kemuliaan dunia membuatkan amalan yang dilakukan semakin bermakna.

“Bagaimanapun pertuduhan yang dikenakan terhadap saya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah mengharuskan saya menyatakan kepada mahkamah tentang kerja-kerja kebajikan saya lakukan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi malah menafikan kenyataan daripada barisan pendakwaan yang memaklumkan di mahkamah bahawa Yayasan Akalbudi milik beliau tidak pernah terlibat dengan kerja-kerja kebajikan.

“Tanpa sedikit pun bersandarkan niat mahu mengungkit, menjulang nama apatah menghebahkan kebaikan, ia semata-mata demi mendapatkan keadilan buat diri saya.

“Seperti saya nyatakan di mahkamah bahawa kenyataan pendakwaan tiada satu sen pun dana Yayasan Akalbudi digunakan untuk membantu orang miskin tidak benar sama sekali.

“Yayasan Akalbudi telah memberi begitu banyak sumbangan kebajikan kepada golongan miskin dan sumbangan amal jariah di dalam mahupun luar negara. Namun hanya sebahagiannya disenaraikan adalah kerana prinsip tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu,” tegas beliau.

Malah kata Ahmad Zahid yayasan tersebut adalah daripada sumber pendapatan beliau.

“Saya percaya sumbangan ini yang saya lakukan dengan tujuan yang baik tidak harus dimalukan, diaibkan dan dizalimi. Saya mencari keredhaan Allah S.W.T

“InsyaAllah saya akan terus tabah mengharungi perjuangan ini dengan hati penuh tawaduk dan tawakal kerana saya pasti kebenaran akan terserlah jua akhirnya,” ujar beliau.  – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.