Rakyat Bijak Menilai Drama Politik PPBM Dan PH… Pi Mai Pi Mai Tang Tu – Kalsom

KUALA LUMPUR, 28 April – Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Kalsom Nordin berpandangan rakyat semakin muak dengan drama yang ditunjukkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terutama Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas beliau, ini kerana parti tersebut berasal daripada pemimpin-pemimpin yang telah melompat parti seperti daripada UMNO dan PKR.

“Saya begitu yakin dan pasti rakyat sudah menolak Muhyiddin dan PPBM kerana sinonim sebagai parti pelompat.

“Rakyat sudah pandai menilai. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor boleh dijadikan sebagai kayu pengukur,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu menambah Pakatan Harapan (PH) juga seolah-olah memerlukan Pas dan PPBM bagi memperkukuh survival politik mereka.

“Tindakan ini membuktikan kelemahan parti PH yang tidak mampu berdiri di atas kaki sendiri seolah-olah seperti ‘pi mai-pi mai tangtu… sekejap keluar sekejap masuk… seolah-olah tiada pendirian langsung’.

“Ini kerana parti di dalam PH percaya ia masih memerlukan sisa baki kekuatan yang ada pada PAS dan PPBM,” ujar beliau.

Terdahulu, Muhyiddin mengatakan bahawa sedia bincang dengan parti lain bagi memastikan Barisan Nasional (BN) berdepan saingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Tanpa menyebut mana-mana parti, beliau bagaimanapun berkata pada ketika ini parti tersebut masih di peringkat awal perbincangan. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.