Jazlan Nasihat Perantau Berhati-Hati Pulang Untuk Raikan Aidilfitri, Kekal Jaga Kesihatan

KUALA LUMPUR, 28 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berharap rakyat mengambil berat tentang keselamatan diri masing-masing di musim perayaan walaupun telah berada dalam fasa peralihan endemik.

Ini kerana katanya, wabak COVID-19 masih berleluasa walaupun perayaan Aidifitri yang bakal menjelma dapat diraikan setelah dua tahun tidak dapat disambut seperti sebelumnya.

“Alhamdulillah pada tahun ini sudah memasuki fasa baharu iaitu fasa peralihan endemik dan walau bagaimana pun kita masih lagi perlu berhati-hati kerana wabak COVID-19 ini masih berada dalam masyarakat.

“Saya menasihatkan kepada semua masyarakat khususnya perantau berhati-hati di jalan raya, semoga selamat balik dan sampai ke destinasi masing-masing dan ambillah kesempatan ini bermaaf-maafan sesama kita. Semoga hari raya tahun ini lebih meriah daripada tahun-tahun yang lepas.

“Di kesempatan bulan dan hari yang baik ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidifitri, maaf zahir dan batin. Ucapan ini khusus kepada seluruh rakyat Malaysia, ahli UMNO, warga UMNO seluruh negara dan juga ahli-ahli UMNO di negeri Kelantan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dalam pada itu Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang mengharapkan agar seluruh akar umbi UMNO terus teguh dan kekalkan perjuangan sehingga pilihan raya yang akan datang.

“Saya berharap agar seluruh ahli UMNO dapat mempertingkatkan semangat dan jati diri untuk meneruskan perjuangan yang mungkin pilihan raya akan tiba tidak lama lagi.

“… dan apa-apa pun yang pasti mesti berkerja bersungguh-sungguh untuk meletakkan kembali parti UMNO yang ‘keramat’ dan dikasihi ini sebagai sebuah parti yang akan memerintah kembali negara ini, Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.