PPBM Terdesak… Selepas Tikam Belakang Hendak Rujuk Dap, Pejuang – Rahman

KUALA LUMPUR, 26 April – Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, dalam mendepani apa juga situasi Barisan Nasional (BN) harus berwaspada dan perlu kekal fokus melaksanakan politik khidmat bakti kepada rakyat.

Katanya, berkaitan hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjalinkan kerjasama dengan parti-parti politik lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau berpandangan sudah tentu Dap dan Pejuang semakin jelik dengan PPBM.

Katanya, Muhyiddin juga dilihat seperti terdesak untuk meraih sokongan parti lain demi menutup kelemahan parti sendiri yang sudah tidak diterima rakyat.

“Tun Dr Mahathir Mohamad, Anthony Loke nampaknya seperti tidak mahu bekerjasama dengan PPBM terutama apabila Tun Mahathir berseloroh mengatakan dia tidak ada kekuatan kenapa pula hendak bersama dengan Muhyiddin tambah pula kena tikam dari belakang tak kan nak rujuk balik?

“Saya tidak nampak Pejuang dan Dap hendak balik bersama dengan parti PPBM lagi pun mereka terdesak untuk kembalikan populariti dan kekuatan… mungkin dia sendiri sedar bahawa rakyat sudah mula muak dan jelik kepada parti mereka.

“Lagipun PPBM ini tidak popular dalam kalangan orang Melayu saya tak tahu sama Muhyiddin hanya bercakap, syok sendiri, gila glamour atau hendak tutup kelemahan dia. Terpaksa la dia buat begitu dia kata hendak PPBM bergabung dengan parti lain untuk menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Bagaimanapun jelas Rahman, BN perlu terus fokus kepada gerak kerja sendiri.

“Saya berpandangan agak positif di pihak parti kita jangan leka dan alpa, perkara ini jangan pandang enteng bahawa kita harus bersedia juga apa sahaja kemungkinan boleh berlaku dalam PRU akan datang

“Justeru PH 2.0 wujud atau tidak tapi kita sebagai parti harus sentiasa bersiap sedia menghadapi apa juga perkara.

“Parti kita kena teguh muafakat dalam apa juga tindakan untuk PRU15, tidak ada berpecah belah, biarlah ada PH 2.0 atau 3.0 tapi jika kita kukuh dan ada solidariti antara kita,” ujarnya.

Katanya lagi, beliau juga percaya bahawa rakyat mengambil pedoman berdasarkan pentadbiran PH terdahulu yang gagal melaksanakan aku janji mereka sebelum PRU14 lepas.

“Pada pandangan peribadi saya lihat rakyat dah menilai mana yang baik dan buruk dilakukan oleh PH sebelum ini.

“Rakyat juga sudah tunjuk tanda-tanda menolak apa yang dibuat oleh Muhyiddin dan PH melalui PRN yang dilakukan sebelum ini

“Saya yakin rakyat tidak percaya apa jua janji atau manifesto yang dikatakan Muhyiddin atau PH yang selama ini banyak manipulasi malah apa yang dilakukan tidak memberi faedah terutama dari segi perkembangan ekonomi negara,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.