Sokongan Rakyat Untuk BN, Tolak Parti Lain Yang Tidak Ada Perancangan – Arshad Yusof

KOTA KINABALU, 21 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Marudu, Arshad Mohd Yusof yakin bahawa sokongan rakyat akan kembali kepada Barisan Nasional (BN) dengan mempertikaikan strategi bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu bergabung dengan parti-parti pembangkang lain.

Jelasnya, perkara itu pernah berlaku pada masa Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lalu apabila mereka bergabung semata-mata mahu menjatuhkan UMNO/BN.

“Ini sudah terbukti bahawa mereka pernah menyatu dalam pilihan raya lalu dan tidak mustahil perkara ini akan berlaku lagi menjelang PRU 15 kerana mahu menjatuhkan UMNO/BN.

“Kalau lihat dalam sejarah negara ini, bahawa peristiwa hitam yang melanda negara pada PRU lalu telah merosakkan masa depan negara yang mencetuskan ketidakstabilan, maka rakyat harus memikirkan sebaik-baiknya sekiranya tidak mahu lagi sejarah hitam itu berlaku lagi.

“Kondisi yang mereka hendak bergabung itu adalah tidak begitu kukuh malah ianya sangat merugikan apabila ianya runtuh dipertengahan penggal malah menyebabkan rakyat semakin sengsara di bawah pemerintahannya,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Sabah merasa yakin bahawa rakyat semakin muak dan serik dengan permainan parti gabungan tersebut.

“Saya percaya jika usaha yang dijalankan oleh bekas Perdana Menteri itu untuk menyatukan parti-parti pembangkang untuk menentang BN, sudah tentu rakyat mahu menolaknya kerana sudah serik dengan gabungan tersebut.

“Semenjak pemerintahan mereka tidak membuahkan hasil pada negara kerana tidak ada perancangan, strategi membangunkan negara malah mereka bergaduh sesama sendiri,” ujarnya.

Seterusnya kata Arshad lagi, ekonomi negara semakin menjunam kerana tidak ada kestabilan serta tidak ada perancangan-perancangan masa mendatang semasa pemerintahan mereka.

“Tidak ada kestabilan yang dapat dicapai kerana tidak ada visi dan rancangan begitu jitu untuk menghadapi atau membangunkan semula dari segi ekonomi dan sebagainya. Sudah pasti rakyat akan menolak dengan penggabungan parti lain dan akan kembali memilih BN,” jelasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.