Ramadan Eratkan Ukwah Keluarga UMNO, Peralihan Ke Fasa Endemik Ceriakan Rakyat

KULIM BANDAR BAHARU, 21 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata fasa peralihan ke endemik memberi kesan amat positif kepada ekonomi penduduk tempatan dan menceriakan rakyat berbanding fasa pandemik sejak dua tahun lepas.

Ini kerana katanya rakyat berpeluang menjana pendapatan khususnya mereka yang berniaga di bazar Ramadan.

“Baru-baru ini saya meninjau sendiri di bazar Ramadan dan melihat para peniaga serta orang ramai yang dah kembali rancak kerana sebelum ini, dua kali Ramadan kita berada dalam pandemik COVID-19.

“Apa-apa pun kebersihan dan keselamatan mesti jadi keutamaan, sentiasa beringat kerana kita masih dalam fasa peralihan endemik. Insya-Allah kita mampu harungi tiap masa sukar bersama dan kita akan dapat raikan Aidilfitri nanti,” katanya.

Jelasnya, sebagai wakil rakyat, beliau mengaplikasi Ramadan dengan pelbagai program kemasyarakatan yang tentunya menjadi tradisi kepada komuniti setempat.

“Indahnya Ramadan ini kami imarahkan bersama-sama dalam keluarga UMNO. Kami kukuhkan dengan ikatan silaturrahim, bergotong-royong bekerjasama dan bersama berkongsi rezeki.

“Ada program memasak bubur lambuk yang dibuat secara bersama, penyediaan yang penuh sepakat dan kemudian sama-sama kami mengedarkannya kepada orang ramai. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.

Dilaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bulan lalu telah mengumumkan bahawa negara memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April lalu. Namun begitu, pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.