Pengeluaran KWSP Bukan Mewahkan Raya, Gunakan Dengan Sebaiknya – Zahid

KUALA LUMPUR, 18 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dipercepatkan daripada 20 April kepada hari ini.

Katanya, keadaan ini sangat bermakna apatah lagi bagi umat Islam yang akan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri, bagaimanapun beliau pada masa sama turut mengingatkan pemohon untuk menggunakan wang tersebut dengan sebaiknya.

“Tentunya pengeluaran khas wang simpanan KWSP lebih bermakna tatkala umat Islam akan menyambut ketibaan hari raya tidak lama lagi.

“Saranan ini mungkin tidak populis, namun beringatlah desakan pengeluaran khas wang simpanan KWSP sedari awal bukan bertujuan memewahkan sambutan perayaan… sebaliknya untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat yang masih bergelut dengan impak buruk pandemik COVID-19.

“Justeru, gunakanlah ia sebaik mungkin untuk bangkit dan keluar daripada kesulitan yang sedang dihadapi dan saya doakan segala usaha saudara saudari dipermudahkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga menempelak segelintir pihak yang sebelum ini mendakwa pengeluaran khas ini adalah di luar kemampuan KWSP.

Ujar Ahmad Zahid, selepas kelulusan dan kini disegerakan pengeluaran maka terbukti KWSP sememangnya mempunyai kemampuan untuk membenarkan permintaan rakyat.

“Ini juga bermakna tidaklah benar tuduhan dilemparkan terhadap saya dan UMNO sengaja menghasut rakyat mengenai pengeluaran khas wang KWSP.

“…dan hampir pasti juga tidak benar pengeluaran kemudahan pengeluaran khas RM10,000 akan menjejaskan strategi pelaburan KWSP, apa yang pasti ramai akan mendapat manfaat disebalik pengeluaran itu termasuk mereka yang mungkin gigih mentohmah UMNO dan saya sebelum ini.

“Para pencarum yang menerimanya akan mendapat manfaat juga para peniaga yang menerima tempias daripada pertambahan aliran tunai dalam pasaran,” ulas beliau.

Terdahulu Kementerian Kewangan mengumumkan pembayaran pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 pada 20 April diawalkan kepada hari ini.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah itu diambil selepas beliau menerima banyak permintaan menerusi media sosial supaya kerajaan mempercepatkan bayarannya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.