Zahid Tolak Dakwaan Lindungi Kes Bella, Hentikan Politik Fitnah… Jangan Ulangi Kebencian Seperti PRU-14

KUALA LUMPUR, 17 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar mereka yang sedang gigih berusaha untuk memfitnah sekali lagi demi politik maka berhentilah.

Katanya, dalam bulan Ramadan yang mulia ini tidak sepatutnya dicemari dengan nilai-nilai kebatilan seperti itu dan menjelang PRU-15 janganlah diulangi politik fitnah dan kebencian seperti PRU-14 kerana akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.

“Saya jelaskan disini, jangan kita terlalu mudah mempercayai sesuatu tuduhan dan dakyah yang dibawa. Kaji dan selidiki dahulu setiap berita dan cerita yang disebarkan, jika malas mahu mencari kebenaran, jangan pula kita rajin menyebarkan kepalsuan.

“Kecuali mereka itu terlupa atau buat-buat lupa ketika ini bulan Ramadan, Allah S.W.T jua yang mengetahui segala-galanya.

“Semoga kita semuanya dalam perlindungan Allah dari melakukan perbuatan keji dan mungkar serta mendapat keizinan dari Allah SWT diberikan kekuatan untuk sentiasa melipatgandakan dalam melaksanakan amal kebaikan dan kebajikan yang bermanfaat,” katanya dalam hantaran menerusi laman facebooknya, hari ini.

Terdahulu beliau menafikan tuduhan cuba melindungi tertuduh dalam kes penderaan Bella dengan mengaitkan tertuduh yang memiliki 10 peguam bela.

“Sebagai insan seperti anda semua tentunya saya juga mengharapkan keadilan buat Bella dapat ditegakkan. Terlalu banyak insiden menyayat hati dilaporkan dalam kes tersebut dan pastinya semua mahukan kebenaran.

“Tetapi saya berasa kesal apabila diberitahu tiba-tiba ada pihak cuba mengaitkan saya dengan kes tersebut. Menuduh saya cuba melindungi tertuduh dalam kes penderaan Bella dengan mengaitkan tertuduh yang memiliki 10 peguam bela kerana saya , maka terpaksalah saya akui saya pernah membantu ramai individu sepanjang penglibatan dalam politik.

“Termasuk didatangi mereka yang meminta bantuan dan sumbangan kewangan untuk tujuan kebajikan. Namun saya sama sekali tidak akan melindungi sesiapa saja antara mereka itu jika didakwa terlibat dalam jenayah.”

Tegas Zahid, hanya dengan mengaitkan gambar beliau dengan tertuduh juga tidak berasas, kerana sebagai seorang pemimpin mana mungkin beliau menolak permintaan sesiapa sahaja untuk bergambar.

“Biarlah mahkamah yang menentukan kebenaran melalui proses perbicaraan yang adil dan saksama. Dakwaan saya cuba mempengaruhi mahkamah dalam perbicaraan kes Bella juga tidak masuk akal.

“Bagaimana saya boleh melakukannya walhal yang menuduh juga tentu tahu saya tiada sebarang kuasa berbuat demikian. Saya tidak berada dalam kerajaan untuk menekan pihak pendakwaan seperti yang dilakukan kerajaan 22 bulan.”

Bidasnya, jika benar beliau mempunyai keupayaan seperti itu bukankah lebih baik `melindungi’ kesnya sendiri.

“`Melindungi” kes mahkamah dikenakan terhadap saya oleh kerajaan 22 bulan sejurus mereka memperoleh kuasa.

“Namun bukankah sehingga hari ini saya gagahi perjuangan untuk membersihkan nama saya di mahkamah,” katanya lagi. – UMNO Online