PRU15 Wajar Dilaksana Selepas MoU Kerajaan-PH Tamat Julai Ini – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 16 April – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajar dilaksana selepas Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) tamat 31 Julai ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata langkah tersebut adalah penting bagi memastikan tiada lagi tindakan bermotifkan politik yang boleh menggugat kestabilan kerajaan kini yang telah berkhidmat dengan baik untuk rakyat.

Beliau berkata PRU15 penting bagi mendapatkan mandat baharu bagi membentuk sebuah kerajaan yang mantap, kukuh dan stabil untuk menjalankan pelbagai program pembangunan serta membangunkan ekonomi untuk rakyat.

“Kita melihat bahawa pilihan raya ini bukan atas kehendak UMNO untuk membentuk kerajaan semata-mata tetapi kita melihat perkembangan ekonomi negara, kita mahu pelabur datang dan ada keyakinan di negara ini dengan kerajaan yang kukuh dan stabil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Media Bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah di sini.

Semalam, Majlis Tertinggi UMNO memutuskan MoU antara Kerajaan Persekutuan dengan PH yang berakhir 31 Julai ini tidak diteruskan lagi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akur dengan keputusan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.