Malaysia Kutuk Sekeras-Kerasnya Serangan Israel Di Masjid Al-Aqsa

KUALA LUMPUR, 16 April – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel ke atas penduduk awam dan jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa, pada Jumaat lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata serangan ke atas salah sebuah masjid paling suci bagi umat Islam pada bulan Ramadan, menunjukkan keganasan berlanjutan dan dasar aparteid yang diamalkan tentera Israel terhadap hak-hak asasi, kehidupan, kesejahteraan serta maruah rakyat Palestin.

“Malaysia amat bimbang susulan peningkatan keganasan di Wilayah Palestin yang diduduki Israel.

Mendasari hal ini, Malaysia meminta masyarakat antarabangsa memperbaharui tekad bagi mencari penyelesaian terhadap konflik Israel-Palestin yang berpanjangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Malaysia juga akan terus bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa bagi mencari keamanan dan keadilan untuk rakyat Palestin selain kemakmuran di rantau Timur Tengah.

Perdana Menteri juga menegaskan, sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka bagi mendapatkan kemerdekaan daripada pendudukan haram Israel.

Katanya ia bagi merealisasikan aspirasi mereka untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967, dan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota.

Lebih 100 rakyat Palestin dilaporkan cedera dalam pertempuran antara tentera Israel dan rakyat Palestin apabila tentera Zionis menyerbu perkarangan masjid selepas solat Subuh pada Jumaat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.