Keputusan Sebulat Suara Aplikasi Semangat Keluarga Besar UMNO Untuk PRU15 – Arman Azha

KUALA LUMPUR, 15 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Arman Azha Abu Hanifah berkata keputusan rasmi parti menerusi mesyuarat MKT malam tadi secara sebulat suara dalam semangat kekeluargaan UMNO sebagai hala tuju ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

Katanya, keputusan ini seharusnya wajib diterima oleh keluarga besar UMNO di atas semangat pengukuhan, penyatuan, perdamaian, perpaduan dan kekuatan parti UMNO/ Barisan Nasional (BN).

“Ini bukan lagi masanya untuk berbalah, berpecah, mempertikaikan antara satu sama lain, menebuk kapal daripada dalam dan mencipta persepsi negatif dikalangan ahli UMNO dan yang pasti harus mengenali musuh utama iaitu Pakatan Harapan(PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) serta bukannya sesama akar umbi dalam keluarga UMNO dan BN.

“Inilah masanya bergerak sebagai satu pasukan dan terus mendekati rakyat terutama sekali pengundi-pengundi muda yang pertama kali mengundi dan ujian sebenar peperangan adalah PRU ke 15.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk semua ahli UMNO dan juga parti agar ianya terus bergerak maju ke hadapan demi kepentingan rakyat Malaysia dengan keizinan Allah SWT,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dalam pada itu beliau melahirkan kesyukuran kerana mesyuarat MKT UMNO telah berbincang hala tuju parti ke arah PRU ke 15 dengan semangat ‘Keluarga Besar’ UMNO.

Ujarnya, banyak yang dibincangkan demi pengukuhan parti ke arah PRU 15.

“Tiap keputusan dibuat telah mengambil kira pandangan, cadangan, kritikan dan tiap sudut sebelum membuat keputusan yang muktamad,” katanya lagi.

Berikut diantara keputusan penting yang telah dibuat oleh Ahli MKT UMNO.

1. Kedudukan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kerajaan Persekutuan dan PH yang akan berakhir pada 31 Julai 2022 telah diputuskan tidak akan diteruskan lagi.

2. Pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi.

3. Bagi melaksanakan keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung UMNO 2021.

4. Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga sebulat suara mencadangkan agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU ke-15 akan datang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.