Ramadan Kesempatan Terbaik Dekati Rakyat, Terus Amal SOP Untuk Fasa Peralihan Endemik

KUALA LUMPUR, 14 April – Kehadiran bulan keberkatan Ramadan menjadi platform terbaik untuk pemimpin UMNO meneruskan politik khidmat bakti termasuk mendekati rakyat di samping memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Di Setiawangsa, Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Seri Izudin Ishak menerusi hantaran di Facebooknya berkongsi beliau berkesempatan meluangkan masa menunaikan solat di Surau Jumaat Muhajirin Desa Rejang bersama penduduk setempat.

“Ini antara surau yang kerap juga saya datang bersolat, besar serta amat selesa untuk menunaikan solat.

“Semasa moreh saya sempat mengedarkan pelitup muka kepada para jemaah dan juga petugas masjid serta mengingatkan mereka serta diri saya supaya terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) walaupun kita sudah memasuki fasa peralihan endemik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menjengah ke negeri utara tanah air, Ketua UMNO Bahagian Alor Star, Datuk Mohd Yusof Ismail turut prihatin dengan menyantuni golongan muda dengan menikmati jamuan berbuka puasa bersama.

Beliau juga menggunakan kesempatan itu untuk bertukar pendapat dengan mereka bagi mengetahui pandangan mengenai isu-isu yang dihadapi golongan ini.

“Alhamdulillah… program berbuka puasa bersama pemuda dan golongan belia meriah dan dalam situasi yang sangat harmoni.

“Menyantuni golongan muda membuka peluang untuk berkongsi aspirasi dan hala tuju generasi muda dan fungsi sebagai ahli masyarakat. Moga dengan usaha bersama team PEmuda dapat mengurangkan jurang dua generasi berbeza,” ujar beliau.

Sementara hasrat murni tersebut juga turut sama diterjemahkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Selangor, Datuk Azley Yahya yang turut meluangkan masa melakukan edaran bubur lambuk kepada penduduk setempat.

Terdahulu beliau menerusi hantaran berbeza di laman sosialnya juga turut berharap umat Islam dapat memanfaatkan keberkatan bulan mulia ini untuk terus melakukan amal ibadah.

“Saya turut sama terlibat dalam Program Edaran Bubur Lambuk Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bersama Pemuda Dun Bukit Melawati di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat.

“Saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak buat muslimin dan muslimat.

“Semoga Ramadan kali ini dipenuhi dengan ibadah dan sedekah… semoga Allah SWT tingkatkan darjat, limpahkan rahmat, hidayah kepada kita semua,” katanya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.