Najib Dakwa Saman 1MDB Penyalahgunaan Proses Mahkamah

KUALA LUMPUR, 14 April – Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa bahawa saman sivil US$8 bilion yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya terhadap beliau adalah penyalahgunaan proses mahkamah, apabila nama pesalah sebenar yang menyebabkan kerugian besar dana kekayaan kerajaan itu, telah dikeluarkan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Bekas perdana menteri itu berkata tindakan 1MDB dan empat anak syarikatnya menimbulkan syak wasangka dan tindakan itu adalah tidak jujur di pihak mereka semasa memfailkan saman dengan mengekalkan nama beliau sebagai seorang daripada defendan.

Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited yang berpangkalan di British Virgin Islands (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

“Ia jelas daripada writ saman yang dipinda bahawa pesalah yang pada mulanya dinamakan telah disingkirkan. Ini menimbulkan syak wasangka dan tidak jujur di pihak plaintif dalam memfailkan saman ini, sekali gus penyalahgunaan proses,” dakwa Najib.

Bagaimanapun, Najib, 68, tidak menyatakan nama defendan, yang digugurkan daripada saman itu.

Najib berkata demikian dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 28 Mac sebagai tuntutan balas terhadap saman sivil 1MDB US$8 bilion yang difailkan terhadapnya dan tujuh yang lain berhubung kerugian kewangan akibat dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran kewajipan fidusiari.

Ahli Parlimen Pekan itu juga menegaskan bahawa pernyataan pembelaan itu difailkan tanpa menjejaskan haknya untuk memfailkan permohonan interlokutori lanjut seperti meminda pembelaan atau membatalkan keseluruhan saman.

“Ketika ini, pernyataan pembelaan ini juga difailkan tanpa menjejaskan hak defendan pertama untuk berdiam diri berkaitan perbicaraan kes jenayah (1MDB) yang sedang berjalan,” katanya.

Pada awalnya, 15 individu termasuk Najib telah dinamakan dalam kes saman itu. Bagaimanapun, tujuh – bekas CEO Mohd Hazem Abdul Rahman dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Pengarah Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram, dan bekas Ketua Pegawai Kewangan Azmi Tahir telah digugurkan.

Defendan lain dalam saman itu termasuk Najib, ialah Loo Ai Swan, Tang Keng Chee, Geh Choh Heng, Vincent Beng Huat Koh, Nik Faisal Ariff Kamil, Kelvin Tan Kay Jin dan Radhi Mohamad.

Setakat ini, Ismee, Shahrol Azral, Mohd Hazem, dan Azmi turut memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan jenayah yang sedang dihadapi bekas perdana menteri itu membabitkan kes rasuah 1MDB bernilai RM2.3 bilion.

Saman US$8 bilion itu merupakan antara 22 saman sivil yang difailkan bagi menuntut lebih US$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.