MKT UMNO Sebulat Suara Cadang Ismail Sabri Calon PM PRU-15, MoU Tidak Diteruskan

KUALA LUMPUR, 14 April – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara mencadangkan agar Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

KUALA LUMPUR 14 April — Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn WTCKL hari ini. Foto – MediaUMNO


Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi kenyataan media selepas mesyuarat MKT petang tadi.

Terdahulu mesyuarat MKT UMNO telah berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn dengan dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam hal ini, MKT UMNO turut membuat ketetapan bahawa kedudukan Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan yang berakhir 31 Julai 2022 diputuskan tidak akan diteruskan lagi.

Turut hadir dalam mesyuarat terbabit ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan naib-naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin serta barisan MKT yang lain. – UMNO Online