Kepimpinan UMNO Rai Anak Yatim, Zahid Luah Kesyukuran

KUALA LUMPUR, 14 April – Kepimpinan tertinggi UMNO hari ini menghadiri majlis berbuka puasa yang berlangsung di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Mereka juga turut bersama meraikan 130 orang anak yatim masing-masing dari Rumah Anak Yatim Baitul Ulfah, Seri Kembangan; Rumah Anak Yatim Limpahan Kasih, Puchong dan Pertubuhan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kuala Langat.

Dalam hal ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran dengan kenikmatan yang diberikan Allah atas kesempatan berada dalam bulan penuh keberkatan Ramadan.

Katanya, kedatangan bulan penuh syafaat pada tahun ini amat bermakna berbanding dua tahun sebelumnya apabila negara berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19.

“Mudah-mudahan Ramadan kali ini lebih memberikan barakah berbanding dua tahun yang sebelumnya.

“Kita bersyukur ke hadrat anugerah Allah SWT mudah-mudahan pandemik akan terus bertukar menjadi endemik, semoga juga Allah memberikan kesejahteraan kepada kita semua,” katanya dalam ucapan ringkas sebelum berbuka puasa.

Turut sama adalah 15 orang guru yang dijemput pada majlis ini serta bertindak sebagai pengiring anak-anak yatim tersebut.

Selepas itu kepimpinan UMNO serta kesemua jemputan menunaikan solat Maghrib dan akan berterawih secara jemaah di Surau Ar-Rahman, Menara Dato Onn.

Di samping majlis berbuka puasa, anak-anak yatim ini juga turut diraikan dengan pemberian sumbangan sempena Ramadan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.