BN Realitikan Janji: Bantuan Kasih Bangsa Johor Langkah Bantu Rakyat Pelbagai Peringkat – Norshida

KUALA LUMPUR, 14 April – Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim melihat Bantuan Kasih Bangsa Johor yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi merupakan satu langkah yang amat baik dalam usaha membantu rakyat pelbagai peringkat.

Menurut beliau tentunya pengumuman bantuan berkenaan adalah satu perkara yang menggembirakan masyarakat Johor dan apa yang paling penting adalah soal pelaksanaan.

“Syukur Alhamdulilah, tengah hari tadi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz telah mengumumkan Bantuan Kasih Bangsa Johor khusus untuk rakyat Johor. Bantuan yang diumumkan merangkumi semua lapisan masyarakat, semua golongan merasai bantuan kasih ini.

“Pastinya bantuan yang diumumkan ini akan memberi senyuman buat Bangsa Johor. Jutaan terima kasih buat Menteri Besar Johor,barisan Exco serta Kerajaan Negeri.

“Waima begitu, perkara yang paling diharapkan setelah pengumuman bantuan adalah prosedur permohonan yang memudahkan rakyat dengan kerenah birokrasi dapat dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online

Tambah beliau lagi yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO, segala bantuan dan segala pengumuman yang baik tidak akan dapat mencapai kejayaan sekiranya segala prosedur menyusahkan rakyat.

“Hal ini kerana apalah makna segala bantuan sekiranya prosedur memohon serta kaedah agihan lambat serta menyusahkan rakyat.

“Semoga pihak Menteri Besar, barisan Exco dan Kerajaan Negeri dapat membantukan memudahkan semuanya. InsyaAllah,” ujarnya.

Kerajaan Johor hari ini menyediakan Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) dengan peruntukan berjumlah RM144.36 juta yang bakal memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat di negeri ini menjelang Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, BKBJ merupakan inisiatif kerajaan Johor bagi membantu rakyat selepas peralihan fasa endemik.

Menurutnya, BKBJ merangkumi 28 inisiatif merangkumi lima kategori utama, iaitu kemasyarakatan, kebajikan, orang muda Johor, pendidikan dan ekonomi.

“Menerusi kategori kemasyarakatan, sebanyak lapan inisiatif digariskan melibatkan dana berjumlah RM34.16 juta kepada pekerja GIG, pemandu bas awam, bas ekspres, imarah masjid dan surau, nelayan serta ketua kampung.

“Bantuan Beras Bangsa Johor dengan peruntukkan RM 23.67 juta turut diperkenalkan di mana setiap rumah di negeri ini akan menerima bantuan beras 10 kilogram (kg). Ia akan manfaat kepada 3.69 juta penduduk Johor dengan 903,000 ketua isi rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pengumuman khas di Pejabat Menteri Besar pada Khamis. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.